Kebaikan Amalan Menabung Dalam Kalangan Masyarakat

Karangan BM SPM : Kepentingan Amalan Menabung

Kepentingan Amalan Menabung Dalam Kalangan Masyarakat. Di era globalisasi dan modenisasi ini, kehidupan rakyat Malaysia dilihat kian terbeban dengan kos hidup yang meningkat. Masyarakat dilihat kurang memberi respon yang baik atau tidak berminat terhadap amalan menabung walaupun kaedah menabung masa kini adalah selamat dan terjamin berbanding masa lalu. Untuk mencapai kehidupan yang selesa, kita mesti bersedia secara fizikal dan mental tanpa mengabaikan aspek kewangan terutamanya.

Oleh itu, sebelum berdepan dengan pelbagai masalah di masa akan datang, kita mestilah membuat persiapan bijak seperti pepatah Melayu “sediakan payung sebelum hujan” agar kita tidak dilanda musibah dalam keadaan tidak bersedia. Wang yang kita perolehi melalui pekerjaan boleh disimpan di dalam bank atau juga tabung. Biarlah kita mula menabung atau menyimpan walaupun dengan jumlah yang sedikit pada awalnya kerana “Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”. Dapatlah dilihat bahawa amalan menabung sudah pasti memberi impak positif kepada kita pada masa depan.

Kebaikan Amalan Menabung Dalam Kalangan Masyarakat (Karangan BM SPM)

Dalam kalangan masyarakat moden, amalan menyimpan wang di bank boleh dikaitkan sebagai sikap suka menabung. Persepsi masyarakat terhadap wang adalah sebagai satu kayu pengukur dalam penentuan kejayaan kehidupan seseorang itu. Memanglah duit itu tidak dapat memjanjikan kebahagiaan tetapi dengan duit seseorang itu dapat membuat diri bahagia dan juga membahagiakan orang lain.

Bagi mewujudkan masyarakat yang bijak dalam hal kewangan serta pandai berjimat, tabiat menabung adalah satu amalan penting yang mesti dipraktikkan dalam hidup. Apakah kelebihan yang boleh didapati dengan menabung? Berikut adalah kepentingan amalan menabung dalam sesebuah keluarga :-

  • Dapat dijadikan simpanan untuk masa hadapan
  • Bekalan wang untuk kegunaan ketika kecemasan
  • Mengelak daripada boros dan membazir
  • Dapat menjadi contoh tauladan kepada anak
  • Dapat dijadikan sebagai bank kecil tanpa perlu meminta wang daripada pihak lain
  • Menjalinkan hubungan baik sesama manusia kerana semua menabung

1. Simpanan untuk masa hadapan

Pertama sekali, antara faedah menabung adalah dapat membekalkan sebuah keluarga atau individu dengan sumber kewangan untuk kegunaan masa depan. Hal ini demikian kerana wang boleh dianggap segalanya pada zaman kini. Jika seseorang itu gagal untuk menyimpan wang yang secukupnya untuk masa hadapan, akan menjadi sukar untuk menjamin masa depan yang cerah baginya. Sebagai contoh, jika sepasang suami isteri yang melahirkan anak dalam usia agak lewat serta tidak mempraktikkan kegiatan menabung, mereka akan berhadapan dengan masalah kewangan apabila tiba waktu persaraan kerana perlu menanggung kos pembelajaran anak mereka yang masih kecil.

Bagi seorang pelajar pula, wang sangat penting untuk menampung perbelanjaan persekolahan seperti berikut:

  1. Alat tulis,
  2. Buku-buku rujukan
  3. Yuran sekolah
  4. Yuran kelas tambahan (tuisyen)

Dan apabila pelajar itu berjaya dalam peperiksaan dan terus mara ke peringkat seterusnya seperti di universiti, dia akan memerlukan wang yang lebih banyak bagi menampung kos pengajian. Ini kerana perbelanjaan tambahan adalah seperti kos penginapan di hostel pusat pengajian yang kemungkinan terletak jauh dari tempat tinggal rumah pelajar. Oleh yang demikian, menabung mesti diamalkan sejak kecil lagi supaya wang tersebut dapat digunakan pada masa akan datang.

2. Bekalan wang untuk kegunaan kecemasan

Seterusnya, setiap orang perlu sedar bahawa keperluan duit semasa waktu kecemasan juga membuatkan amalan menabung itu sangat penting. Hal ini kerana manusia tidak dapat menjangka pada bila masa mereka perlu mengeluarkan wang yang banyak bagi menanggung kos perbelanjaan sesuatu perkara yang boleh hadir tanpa diduga seperti peribahasa “malang tidak berbau”.

Misalnya, contoh kes kecemasan adalah seperti

  1. Bencana alam seperti gemba bumi, tanah runtuh dan banjir besar
  2. Kemalangan jalan raya
  3. Kematian ahli keluarga secara mengejut
  4. Masalah kesihatan

Justeru, kita perlu mengambil langkah bersiap sedia jika hal yang tidak diingini seperti ini menimpa kita atau keluarga kita. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan dengan simpanan yang banyak hasil menabung dapat membantu mengatasi masalah atau situasi ketika kecemasan.

3. Amalan agar tidak menjadi boros dan membazir

Selain itu, menabung dapat menjauhkan diri daripada sikap pembaziran. Hal ini kerana dengan menyimpan wang, ianya mempunyai kesan termasuk dapat memupuk nilai-nilai murni seperti berjimat-cermat dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan masa depan kita.

Seseorang itu cenderung untuk boros ketika berbelanja dan berfikiran secara tidak rasional ketika membuat pilihan. Manusia akan mudah tertarik dengan promosi produk keluaran syarikat yang bijak mempromosikan sesuatu produk dengan pakej pembungkusan yang cantik dan menarik perhatian. Lalu pembeli akan terus membeli produk tersebut dengan tidak berfikir panjang walaupun barang itu tidak diperlukan.

Sama juga, seorang pekerja yang bekerja keras untuk memperoleh wang tetapi tidak pandai untuk menabung dan mengawal perbelanjaannya akhirnya akan dibebani dengan masalah kewangan. Dalam agama Islam terdapat kenyataan bahawa sikap boros itu adalah amalan syaitan. Secara rumusannya, menabung boleh menghindarkan diri daripada bersikap boros serta dapat meningkatkan jumlah simpanan seseorang.

4. Dapat menjadi contoh tauladan kepada anak

Tambahan pula, amalan menabung yang disemai oleh ibu bapa dapat dijadikan contoh teladan kepada anak mereka. Perkara ini bermaksud sesebuah keluarga yang mengambil berat tentang amalan menabung akan disambung generasi seterusnya melibatkan anak, cucu, sehinggakan cicit akan turut serta mencontohi perbuatan moyang mereka. Ini sangat sesuai dengan pepatah Melayu, “bapa borek, anak rintik”. Sebagai contoh, anak-anak yang setahun jagung akan diajar untuk menabung sehingga dewasa, dan seterusnya ideologi ini akan diwariskan. Oleh itu, amalan menabung dalam keluarga akan berkekalan sekiranya ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk tabiat menabung di kalangan ahli keluarga.

5. Dijadikan bank kecil, tidak mengharapkan orang lain untuk memberi wang

Selain itu, dengan mengamalkan sikap menabung secara konsisten, ianya dapat menangani segala masalah yang bakal menimpa kita pada masa akan datang. Perkara ini boleh terjadi apabila sesebuah keluarga memerlukan wang yang berjumlah besar untuk melaksanakan bayaran terhadap sesuatu. Keluarga tersebut berkemungkinan akan mengharapkan pinjaman daripada pihak bank. Tetapi masalah sebenar akan timbul apabila pinjaman tersebut akan dikenakan faedah yang boleh membebankan.

Sebagai contoh, jika seseorang yang meminjam sebanyak lima puluh ribu ringgit untuk membeli sebuah kereta, dia perlu memastikan wang sebanyak enam puluh ribu yang mesti dilangsaikan kepada pemiutang atas 10 peratus faedah yang dikenakan. Hal ini dapat dielak dengan mudahnya sekiranya kita memilih untuk menyimpan wang pada masa dahulu yang lebih baik berbanding meminjam wang. Oleh yang demikian, kita mestilah sentiasa menekankan kepentingan menabung dalam kalangan keluarga dan orang tersayang agar tidak perlu berada dalam situasi yang tidak diinginkan.

6. Mengekalkan hubungan baik sesama manusia hasil kegiatan menabung

Akhir sekali, melalui tabiat menabung, ianya dapat mengeratkan hubungan silatuhrahim antara keluarga. Perkara ini dapat dibuktikan dengan keluarga tersebut akan menggunakan masa untuk berkongsi jumlah wang yang telah disimpan sesama mereka dan kegunaannya pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang daripada keluarga ingin meminjam duit daripada ahli keluarganya oleh kerana duit simpanannya yang tidak mencukupi. Oleh sebab ahli keluarganya yang lain merupakan golongan yang mementingkan amalan menabung, maka seseorang dapat berbincang dengan ahli keluarganya yang lain untuk meminjam duit sementara waktu. Oleh itu, di sini dapatlah dilihat menabung itu dapat merapatkan keakraban tali persaudaraan dalam keluarga.

Secara kesimpulannya, amalan menabung mempunyai banyak kepentingan untuk seorang individu dan keluarga kerana menabung akan memberi manfaat pada jangka masa panjang khususnya. Galakkan amalan menabung mesti diwujudkan agar lebih ramai orang yang menyedari kepentingan amalan ini. Tidak kira usia samada muda mahupun tua, marilah kita mula menabung dengan cermat kerana “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”.