Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Tips Gaya Hidup Sihat

Cara-Cara Bagi Mengamalkan Gaya Hidup Yang Sihat. Dalam era modenisasi ini, sering kali kita dikejutkan dengan berita yang tidak berapa sedap untuk didengari. Antaranya adalah perkara yang berkaitan dengan masalah kesihatan rakyat Malaysia khususnya. Sebagai contoh, meingkatnya kes-kes penyakit kritikal seperti sakit jantung, kanser, diabetes dan lain-lain penyakit yang berkaitan. Malaysia kini dikatakan mempunyai masalah obesiti yang serius. Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami berat badan berlebihan (obesiti) atau lebih dikenali sebagai kegemukan. Oleh itu, kita mestilah mengetahui cara-cara menjalani kehidupan yang sihat agar diri kita terhindar daripada masalah kesihatan tersebut agar tidak menjadi seperti peribahasa Melayu “nasi sudah menjadi bubur”.

Kehidupan yang sihat, bahagia dan selamat sememangnya merupakan impian setiap manusia di dunia ini. Bagi mencapai impian tersebut, pengamalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang seharusnya diamalkan. Rakyat di negara Malaysia kini semakin sedar akan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai cara hidup bagi merealisasikan impian untuk hidup lebih sihat, bahagia dan selamat itu tercapai. Jadi bagaimanakah cara yang terbaik untuk mengamalkan gaya hidup sihat?

Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat

Terdapat pelbagai cara atau kaedah untuk dipraktikkan dalam mengamalkan gaya hidup sihat antaranya adalah dengan menjaga pemakanan seharian, melakukan senaman atau riadah, jauhkan diri daripada tekanan diri, menjaga kebersihan rumah dan persekitaran daripada terjebak melakukan perkara yang menjejaskan kesihatan, dan membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

1. Menjaga Pemakanan Seharian

Perkara paling penting dalam mengamalkan gaya hidup sihat adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Ianya meliputi pengambilan pelbagai jenis makanan berdasarkan piramid makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara makanan-makanan yang paling utama atau perlu diambil berdasarkan piramid makanan adalah makanan yang tinggi kandungan karbohidrat seperti:

  • Nasi
  • Bijirin

Hal ini diperlukan kerana karbohidrat membekalkan tenaga untuk membolehkan tubuh badan kita dapat menjalankan pelbagai urusan kehidupan seharian. Seterusnya, pengambilan makanan yang digalakkan berdasarkan piramid makanan adalah seperti:-

  • Sayur-sayuran
  • Buah-buahan

Mengambil makanan tersebut dengan secukupnya penting untuk membekalkan vitamin serta serat kepada badan manusia. Di samping itu, berdasarkan piramid makanan juga, ia menganjurkan pengurangan makanan yang mengandungi lemak, minyak, garam, dan gula. Ini kerana ia dapat mengelakkan pelbagai penyakit kronik seperti serangan jantung, diabetes, darah tinggi dan sebagainya.

Piramid makanan 2

2. Melakukan Senaman atau Riadah

Cara mengamalkan gaya hidup yang sihat yang lain juga adalah dengan melakukan aktiviti senaman dan riadah yang penting untuk tubuh badan kita. Dengan mengamalkan pengambilan makanan seimbang serta amalan bersenam dan beriadah secara konsisten ini, sekaligus dapat membakar kalori dalam badan dan juga mengurangkan masalah peningkatan berat badan. Aktiviti senaman dan riadah boleh dilakukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu. Anggaran tempoh bagi setiap sesi senaman dan riadah tersebut adalah memadai untuk dilakukan dalam masa 20 hingga 30 minit.

3. Jauhkan Diri Daripada Tekanan Diri

Pengamalan gaya hidup sihat juga melibatkan pengurusan tekanan diri atau stres. Tekanan diri adalah gejala negatif yang semakin menular dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Ianya melibatkan tekanan yang sukar dikawal sama ada di tempat kerja atau tempat belajar selain daripada masalah rumah tangga. Seseorang yang mengalami tekanan diri ini perlulah bijak mencari formula untuk menguruskannya supaya fikiran tidak kusut sehingga mengganggu kehidupan harian kita serta akhirnya boleh menjejaskan kesihatan diri.

Antara langkah yang dapat dilakukan untuk menangani tekanan diri ialah seperti:-

  • Meminta pendapat atau pandangan orang yang lebih pakar ataupun kaunselor
  • Berkongsi masalah dengan rakan atau keluarga
  • Mendekatkan diri kepada Tuhan serta aktiviti keagamaan untuk terus memotivasi diri

Tekanan diri yang dapat diuruskan dengan baik membolehkan diri kita supaya hidup lebih bahagia dan sihat. Gaya hidup yang sihat memerlukan kita supaya terus aktif dan keluar dari rasa kemurungan disebabkan tekanan diri mahupun kehidupan yang tidak teratur.

4. Menjaga Kebersihan Rumah dan Persekitaran 

Amalan gaya hidup sihat seterusnya ialah menjaga kebersihan rumah dan persekitaran. Ini adalah untuk mengelak daripada terjebak atau terdedah kepada perkara yang menjejaskan kesihatan. Antaranya adalah seperti tempat-tempat yang membolehkan nyamuk membiak dan menyumbang kepada penyakit demam denggi. Segala sampah sarap hendaklah dibuang ke tempat yang dikhaskan. Pembuangan sampah sarap ke dalam sungai atau ke longkang luar rumah juga adalah dilarang kerana ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

5. Menghindarkan diri daripada aktiviti negatif yang boleh menjejaskan kesihatan

Selain itu, kita juga hendaklah mengelakkan aktiviti-aktiviti yang negatif yang memberi impak tidak baik terhadap tubuh badan kita dalam usaha untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini demikian kerana aktiviti sedemikian boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan kita dalam jangka masa panjang. Contoh aktiviti negatif tersebut adalah seperti:-

  • Penagihan dadah
  • Ketagihan arak
  • Seks rambang
  • Menghisap rokok

Secara jelasnya, tabiat seperti menghisap rokok ini boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit jantung dan paru-paru. Tambahan pula, dengan meminum arak akan mendatangkan implikasi teruk kepada mental serta fizikal kepada mereka yang mengambilnya. Selain itu, dengan terjebaknya seseorang itu kepada penagihan dadah juga boleh menyebabkan punca berlakunya gejala sosial dalam masyarakat.

Sebagai peringatan, sesiapa yang terjebak dalam aktiviti negatif ini bukan sahaja akan menerima kemudaratan kepada diri sendiri, bahkan juga dipandang serong malahan bakal disisihkan oleh masyarakat. Oleh itu, marilah kita semua meningkatkan kesedaran dan kefahaman kita terhadap bahaya penyalahgunaan dadah mahupun rokok serta arak. Mengawal dan mencegah daripada berlakunya kegiatan buruk ini bukan sahaja untuk menjamin kesihatan individu semata-mata malahan memberi kebaikan kepada masyarakat.

6. Mendapatkan Pemeriksaan Kesihatan

Kebanyakan orang dalam kalangan masyarakat biasanya akan berjumpa dengan doktor hanya bila sudah sakit sahaja. Tetapi mereka lupa bahawa gaya hidup yang sihat itu memerlukan seseorang membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala. Pemeriksaan kesihatan ini boleh dibuat di hospital kerajaan atau swasta dengan kekerapan masa sebanyak dua kali setahun. Dengan mengetahui tahap kesihatan kita, kita boleh megambil langkah tertentu bagi memastikan kesihatan kita terus berada dalam keaaan baik.

Secara kesimpulannya, terdapat banyak amalan yang perlu kita lakukan antaranya seperti perkara yang dinyatakan di atas untuk membolehkan kita supaya terus hidup sihat. Amalan gaya hidup sihat ini harus dipupuk serta disedari oleh kita sejak daripada kecil lagi. Ibu bapa serta anggota keluarga lain juga memainkan peranan dalam mendidik kita mengamalkan gaya hidup sihat. Akhir sekali, peribahasa Melayu ada menyebut “mencegah itu lebih baik dari mengubati” maka marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat sebelum terlambat.