Cara-Cara Mengekalkan Keceriaan Sekolah

Karangan SPM : Langkah Menceriakan Kawasan Sekolah

Sekolah merupakan tempat kita menuntut pelajaran untuk lengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran berguna. Lantaran itu, persekitaran kawasan sekolah yang kondusif akan mempunyai pengaruh terhadap pelajar menelaah pelajaran dan menuntut ilmu. Setiap penghuni sekolah termasuk pelajar, guru dan kakitangan mesti menjaga kebersihan dan keindahan sekolah. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya sentiasa berada dalam keadaan bersih dan ceria. Bak kata pepatah Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.” Oleh itu, pihak sekolah perlu merancang strategi yang berkesan untuk menceriakan kawasan sekolah.

Sudah semestinya, keceriaan kawasan sekolah seringkali diperkatakan dalam perhimpunan harian mahupun mingguan malah sering dipandang serius oleh para ibu bapa untuk memastikan anak mereka belajar di tempat yang bersih dan selesa. Justeru itu, semua pihak mestilah berusaha dan memegang komitmen dalam menangani isu ini kerana “di mana ada kemahuan di situ ada jalan”.

Cara-Cara Mengekalkan Keceriaan Sekolah (Karangan BM SPM)

Persoalannya, apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menceriakan dan memastikan kebersihan kawasan sekolah? Sebenarnya terdapat pelbagai cara atau langkah yang telah diambil oleh pihak sekolah serata Malaysia yang boleh dijadikan contoh bagi sekolah lain. Antara cara-cara mengekalkan keceriaan sekolah adalah seperti berikut:

1. Program Gotong-Royong Perdana

Program Gotong-Royong Perdana merupakan satu kaedah utama bagi menceriakan kawasan sekolah. Hal ini demikian kerana aktiviti gotong-royong yang diadakan pada hujung minggu setiap bulan oleh pihak sekolah boleh membuat kawasan persekitaran sekolah kekal dalam keadaan bersih dan indah.

Tujuan gotong-royong diadakan adalah untuk memastikan setiap warga sekolah dapat bekerjasama untuk membersihkan sekolah. Aktiviti bergotong-royong mesti diadakan secara konsisten dan perlu melibatkan seisi warga sekolah untuk membersihkan seluruh kawasan sekolah. Dengan melibatkan semua pihak, kerja boleh disiapkan dengan mudah dan lebih efisien, bak kata pepatah “berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing”. Contohnya, pelajar dikehendaki memungut sampah atau membersihkan longkang manakala para guru akan mengumpulkan sampah tersebut dan membuangnya atau kitar semula.

Tambahan pula, program ini juga dapat memastikan warga sekolah bebas daripada wabak penyakit yang disebabkan oleh masalah kebersihan seperti :-

  • Demam denggi
  • Keracunan makanan

Sebagai contoh, Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan adalah gotong-royong membersihkan kawasan meliputi :-

  • Kawasan asrama
  • Kawasan kantin
  • Tandas
  • Kawasan Kelas

Dalam pada itu, pihak sekolah juga boleh merancang aktiviti mengecat semula bangunan yang dapat meningkatkan keceriaan bangunan sekolah. Pelajar juga boleh bekerjasama untuk mengecat pagar dan dinding bangunan sekolah serta diberi peluang menyerlahkan kreativiti masing-masing dengan melukis mural dan slogan kata di dinding sekolah seperti cogan kata “sekolahku syurgaku”. Tuntasnya, sekolah akan menjadi lebih cantik dan pelajar akan bersungguh-sungguh untuk hadir ke sekolah yang kelihatan berseri-seri.

2. Pertandingan Keceriaan Kelas

Langkah seterusnya untuk mengekalkan keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah adalah dengan menganjurkan Pertandingan Keceriaan Antara Kelas. Hal ini demikian kerana Pertandingan Keceriaan Kelas anjuran pihak sekolah ini boleh memberi peluang kepada setiap pelajar untuk memainkan peranan penting serta berganding bahu antara rakan sekelas dalam menceriakan kelas masing-masing. Melalui aktiviti ini, setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka seperti :-

  • Mengelap cermin tingkap
  • Menyapu lantai
  • Mengemaskan meja dan kerusi

Sebagai contoh, kategori hadiah dalam pertandingan keceriaan kelas yang boleh diberikan adalah seperti berikut :-

  • Kelas Paling Ceria
  • Kelas Paling Teratur
  • Kelas Paling Bersih

Guru yang bertugas akan membuat pemantauan terhadap kelas satu demi satu dan menilai kebersihan kelas setiap hari. Justeru itu, kelas terbersih dan terkotor akan diumumkan ketika perhimpunan mingguan. Kelas yang berjaya memenangi kelas paling bersih akan diberikan sijil penghargaan atau hadiah sagu hati.

Sebaliknya kelas terkotor akan didenda untuk menjalankan pembersihan pada petang, seperti mencuci tandas dan kantin. Dengan adanya anjakan paradigma seperti ini, diharapkan pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Sudah pasti para pelajar akan bertungkus lumus untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan serta mengelak daripada di denda. Di samping itu, pertandingan ini juga dapat memastikan kerjasama antara murid sekelas dengan guru untuk menceriakan kelas sebagai satu pasukan bak kata pepatah ‘bukit sama di daki, lurah sama dituruni’.

3. Membina Taman Mini

Aktiviti seterusnya untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah adalah dengan membina taman mini di kawasan sekolah. Pembinaan lebih banyak taman mini yang dipenuhi bunga dan tanaman pokok serta haiwan jinak menerusi aktiviti yang dijalankan oleh kelab dan persatuan di sekolah dapat menghasilkan suasana yang cukup tenang, bersih dan ceria. Setiap sekolah perlu mengadakan “Program Sekolah dalam Taman” dengan menanam tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok bunga yang mampu menghijaukan kawasan sekolah. Kesannya persekitaran sekolah akan menjadi lebih nyaman dan dikelilingi udara yang segar.

Sehubungan dengan itu, pembinaan taman ini juga akan memberi motivasi kepada mereka untuk sama-sama menjaga kebersihan dan keceriaan sekolah serta dapat menjadikan daya tarikan kepada para pelajar untuk datang ke sekolah.

Untuk pengetahuan, antara idea atau jenis pembinaan taman mini merangkumi :-

  • Taman herba
  • Taman orkid
  • Taman burung

Selain itu, pelajar-pelajar juga boleh membawa sendiri pokok bunga yang terdapat di rumah masing-masing ke sekolah untuk ditanam.

Landskap sekolah juga boleh dilengkapi dengan :-

  • Kolam ikan
  • Bukit-bukau
  • Pondok atau ‘Gazebo’

Tempat-tempat tersebut dapat memastikan agar pelajar boleh beristirahat dan mungkin membaca atau menelaah pelajaran di situ dengan selesa. Lantaran itu, pelajar akan lebih selesa dan berminat untuk menimba ilmu dalam persekitaran seperti taman kehijauan berbanding bangunan konkrit sahaja.

Kesimpulannya, semua pihak mesti memainkan peranan dalam usaha menceriakan kawasan sekolah agar sekolah menjadi tempat yang selesa untuk menuntut ilmu. Dalam hal ini, guru-guru, pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah perlu bersama-sama menjaga persekitaran sekolah supaya bersih dan ceria. Usaha yang proaktif dan sistematik perlu digerakkan mulai dari sekarang kerana ‘perjalanan yang beribu batu, mestilah bermula dengan langkah yang pertama’.